Tuesday, 15 March 2016

INFO PELABURAN UNIT TRUST YANG ANDA PATUT TAHU :)

Tahukah anda mengenai pelaburan ‘Unit Trust’ atau kata lainnya iaitu Unit Amanah? Tahukah anda tentang kelebihan unit trust ini yang berpotensi memberi keuntungan berlipat ganda kepada para pelaburnya? Namun, masih ramai di antara kita yang dilihat masih tidak yakin dengan potensi pelaburan unit trust itu sendiri. Mengapa perkara tersebut boleh terjadi? Kadangkala, perkara tersebut terjadi bukan kerana kita tiada wang untuk melabur, tetapi sebaliknya disebabkan oleh ketidakfahaman kita tentang maksud sebenar unit trust yang seterusnya membina kesangsian terhadap potensi unit trust itu sendiri.
Unit trust yang juga dikenali sebagai Mutual Fund di negara lain seperti Amerika Syarikat secara amnya merupakan suatu pelaburan berkelompok. Pelaburan ini membenarkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama mengumpulkan wang mereka untuk dilaburkan ke dalam sesebuah portfolio sekuriti yang diuruskan oleh pengurus dana profesional.
Ini bermakna pemegang unit pelaburan unit trust sebenarnya tidak membeli saham terus kepada portfolio atau di kaunter saham. Sebaliknya, pemilikan saham akan dibahagikan kepada unit. Jika nilai saham naik atau turun, nilai setiap unit yang dilaburkan juga akan naik atau turun. Setiap pelabur yang berdaftar akan menerima sijil penamaan yang dikenali sebagai Sijil Unit Amanah. Bilangan unit yang dipegang oleh setiap pelabur pula bergantung kepada harga belian unit pada masa pelaburan dibuat dan jumlah wang yang dilaburkan oleh pelabur.
Bagaimana pelaburan unit trust ini berfungsi?
Di dalam pelaburan unit trust, wang yang anda laburkan akan dikumpulkan bersama pelabur-pelabur lain sehingga menjadi jumlah yang besar dan akan dilaburkan ke dalam pelbagai saham ‘equity’ dan ‘bond’. Kepelbagaian pelaburan ini dapat mengurangkan risiko kerana kita tidak terhad untuk bergantung kepada satu saham semata-mata. Jika anda memilih untuk melabur di dalam unit amanah yang berlandaskan Islam/Syariah, wang yang anda laburkan hanya akan digunakan ke dalam saham-saham yang mematuhi syariah Islam sahaja. Hal ini sebenarnya secara tidak langsung telah membantu pertumbuhan sistem kewangan Islam.
Pelaburan dan aktiviti jual beli saham anda pula akan diuruskan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman. Oleh itu, anda tidak perlu risau untuk memantau turun naik harga saham di pasaran setiap hari. Hal ini disebabkan pengurus dana yang dilantik ini akan sentasa berusaha untuk memaksimumkan keuntungan daripada pelaburan anda.
Isu-isu berkaitan unit trust?
1. Ramai yang mungkin tertanya-tanya sama ada pelaburan di dalam unit trust ini adalah halal atau tidak. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kepada pelabur untuk membuat kajian tentang unit trust yang bakal disertai kerana di Malaysia terdapat banyak unit trust berdaftar yang berlandaskan syariah. Islamic Unit Trust yang telah tersenarai di Suruhanjaya Sekuriti adalah yang telah diluluskan dan halal untuk dibuat pelaburan.
2. Selain itu, unit trust ini adalah satu perniagaan yang telah diluluskan oleh kerajaan. Pelaburan unit trust bukanlah seperti perniagaan haram yang terdapat di Malaysia (skim cepat kaya). Portfolio akan dibahagikan kepada unit dan pelabur-pelabur dikenali sebagai ‘unit holders’. Untuk menjaga kepentingan kepentingan para pelabur, seorang pemegang amanah (trustee) akan dilantik. ‘Trustee’ merupakan pemilik sah ke atas semua asset dalam Unit Trust Scheme bagi pihak pemegang unit.
Apa kelebihan melabur dalam unit trust?
1. Kepelbagaian atau Diversification
Unit Trust memberi peluang pelaburan untuk pelabur-pelabur kecil membuat pelaburan dengan mudah. Dengan modal yang sedikit, pelabur berpeluang menyertai lebih banyak sector/asset. Kepelbagaian atau diversification ini mampu meminimumkan risiko para pelabur kerana tidak melabur dalam satu portfolio sahaja. Jika pelabur mengalami kerugian di satu portfolio, kerugian tersebut boleh diimbangi dengan keuntungan yang diperolehi daripada portfolio yang lain.
2. Pengurusan dana profesional
Pelaburan dana dalam unit trust akan diuruskan oleh pengurus dana profesional dan terlatih. Jadi, anda tidak perlu risau lagi kerana mereka ini bukan sahaja berkemahiran, malah berpengalaman dalam menguruskan pelaburan. Mereka akan memastikan wang yang kita laburkan akan dilaburkan dalam syarikat-syarikat yang mampu menghasilkan keuntungan lumayan berdasarkan kaji selidik yang telah mereka jalankan.
3. Liquidity (Kecairan) yang tinggi
Perkara yang paling penting bagi seorang pelabur untuk melakukan satu pelaburan adalah tahap kecairan asset yang dilabur itu. Semakin tinggi tahap kecairan aset, semakin tinggi nilai asset tersebut. Unit trust membolehkan pelabur menebus atau menjual semula unit-unit yang dipegang pada bila-bila masa dan bayaran akan diperolehi dalam jangka masa yang singkat.

No comments:

Post a Comment